Wednesday 16 September 2015

MALAYSIAN NOMAD


ZAHARIZ KHUZAIMAH

            Bayangkan kehidupan harian kita masih seperti zaman dahulu, dengan cara berpindah-randah mencari sumber makanan dan  menjelajah di dalam hutan. Inilah yang ingin dikupas melalui kehidupan seorang rakyat Malaysia iaitu Zahariz Khuzaimah yang sanggup mengembara ke serata dunia untuk mencari pengalaman di bumi asing hanya dengan mengayuh basikal. Hidup sebagai seorang manusia nomad di zaman moden, memberi seribu satu  pengalaman yang bermakna baginya. Nomad boleh ditakrifkan mengikut Kamus Dewan yang membawa pengertian kaum yang berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mencari sumber makanan dan sebagainya. Beliau menyimpan impian untuk menjadi seorang pengembara sejak kecil dan telah merealisasikan impian apabila dewasa. Pengembaraan beliau bermula pada pertengahan tahun 2010 di Chengdu,  China dengan hanya berbekalkan wang sebanyak RM 6000 dan tanpa sebarang pengalaman. Pengembaraan beliau disiarkan di stesyen Tv Al-Hijrah melalui rancangan Dengan Basikal Aku Menjelajah telah memikat ramai penonton dengan sikap kesederhanaan beliau. Seterusnya perjalanan beliau sebagai seorang nomad diteruskan ke Gurun Taklamakan, pergunungan  Tian Shan di China, Tibet, Kazakhstan, Kyrgyzstan,  Iceland, Scotland, Sweden dan seterusnya di Norway. Sebelum ini beliau bekerja sebagai seorang pensyarah animasi di sebuah kolej swasta dan beliau ingin  mengubah kehidupan normalnya untuk merasai kehidupan sebagai seorang nomad moden


Objektif pengembaraan beliau adalah untuk  meninggalkan kehidupan zon selesa dan lari dari kesibukan harian manusia normal demi untuk menemui makna sebenar kehidupan yang penuh misteri dan risiko yang tidak dijangka. Hanya menggunakan basikal dan ditambah beban barangan yang dibawa hampir 60kg, beliau telah mengayuh lebih 14000 km di China. Permulaan kayuhan beliau di Chengdu, China banyak memberi pengalaman baru di bumi China. Masalah tidak dapat memahami dan berkomunikasi dalam bahasa Mandarin tidak mematahkan semangat beliau. Zahariz Khuzaimah bertemu dengan gadis Cina yang sanggup menolong beliau mengenal kawasan sekitar Chengdu dan mengajar beliau asas bahasa Mandarin. Ini menunjukkan sifat ingin tahu yang begitu tinggi dalam dirinya. Beliau seorang yang mudah mesra dalam pergaulan dengan masyarakat setempat memudahkan beliau memperoleh kenalan dalam waktu yang singkat. Kenalannya dari pelbagai bangsa dan agama terjalin melalui pengembaraan beliau. Melalui pengembaraan beliau, kita dapat melihat cara interaksi dengan masyarakat dunia yang mepunyai pelbagai etnik dan sosiobudaya yang berbeza. Sebagai contoh, interaksi beliau dengan masyarakat  Tibet yang tinggal di kawasan Pergunungan Utara-Timur Himalaya dengan menggunakan isyarat tubuh dan isyarat tangan. Kesungguhan beliau untuk memahami sesuatu perkara seharusnya menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia.




Aktiviti harian beliau sepanjang pengembaraan bermula dari waktu pagi yang sunyi. Beliau gemarkan kawasan pergunungan, tepi tasik atau dataran padang yang tenang dan lapang untuk dijadikan kawasan khemah sambil melihat keindahan alam. Beliau menghabiskan masa yang lama pada waktu pagi bersendirian sambil mengambil gambar dan membuat rakaman video untuk rancangan di TV Al-Hijrah. Pelbagai gambar akan diambil dan akan dimuat turun dalam blognya. Hasil gambar beliau yang cantik dan indah membuktikan kekuasaan Allah S.W.T dalam mencipta makhluknya. Kegigihan beliau dalam melakukan perjalanan solo dan semua rakaman dibuat sendiri membuktikan niat murni untuk berkongsi pengalaman di dunia luar. Semua perjalanan beliau tidak dirancang dan hanya bergantung kepada diri sendiri samada untuk meneruskan kayuhan atau berhenti untuk berehat. Memetik kata-kata beliau “saya tidak menganggap diri saya sebagai pergi  bercuti kerana saya tinggal di jalanan adalah hidup saya”. Pada pengembaraan berikutnya, Zahariz sanggup mengharungi risiko dengan meneruskan kayuhan di Gurun Taklamakan sejauh 600 KM dengan suhu hampir mencecah 52˚ darjah celcius. Beliau hampir kehabisan bekalan makanan di  Gurun Taklamakan. Benarlah sabda Rasulullah S.A.W mafhumnya “ tiga doa yang dimakbulkan iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang musafir dan doa orang tua untuk anaknya”. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al-Tirmizi. Dengan berkat ketabahan beliau, askar- askar China yang menaiki trak melalui kawasan tersebut dan telah  memberi bantuan air dan buah tembikai kepadanya. Sesungguhnya cabaran yang dihadapi beliau tidak sedikit pun mematahkan semangat beliau untuk terus menjadi manusia nomad.
Pada siri pengembaraan yang lain, beliau mengembara sendirian ke dunia Artik untuk melihat sendiri fenomena alam iaitu Aurora Borealis. Keindahan ciptaan tuhan yang terjadi ini memberi kita rasa kagum dan ingin mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Pelbagai dugaan yang telah dilalui beliau termasuklah pernah terjatuh dalam air salji dan tiada seorang manusia pun yang dapat menolongnya. Tetapi dengan berkat pertolongan Allah, beliau dapat keluar dari kolam air salji. Seungguhnya pengembaraan yang dipaparkan dalam skrin tv telah memberi maklumat kepada masyarakat Malaysia bahawa masih ada  semangat seorang anak muda Melayu Islam yang berjiwa kental yang sanggup mengorbankan masa dan tenaganya untuk melihat dunia ciptaan tuhan. Bagi beliau, hidupnya akan sia-sia tanpa melihat keajaiban ciptaan tuhan.

Keluar dari zon selesa secara tidak langsuang kita akan menemui potensi dan kelebihan  diri. Maka lahirlah golongan yang mampu berfikir di luar kotak fikiran. Golongan yang mampu mendepani masa depan, seterusnya menjadi pemangkin kecermelangan negara. Sebagaimana yang dipaparkan dalam stesyen Tv Al-Hijrah dalam rancangan Dengan Basikal Aku Menjelajah, kita dapat mengetahui cara kehidupan masyarakat antarabangsa. Setelah melihat penjelajahan Zahariz, kita dapat menilai sejauh mana layanan masyarakat luar kepada pelancong  asing. Sebagai contoh di negara Sweeden, masyarakat di sana sanggup menolong Zahariz untuk tinggal bersama mereka tanpa dikenakan sebarang bayaran. Kesemua keperluan asas diberi percuma walaupun berbeza bangsa dan agama. Dan yang paling menakjubkan,setelah beliau tinggal di sebuah rumah di sebuah perkampungan, orang kampung disana juga turut mengajak beliau untuk tinggal bersama. Tetapi malangnya di Malaysia, masyarakat kurang memberi pertolongan kepada pengembara seperti beliau dan lebih mementingkan keuntungan dari mengikat persahabatan sesama manusia. Masyrakat di sana lebih terbuka menerima kehadiran pengembara seperti Zahariz. Sedangkan dalam agama Islam memberi pertolongan kepada orang lain amat dituntut. Oleh itu, kita sebagai  umat Islam seharusnya mengambil iktibar dengan menjadikan Islam itu agama yang indah dan dipandang tinggi oleh agama lain.
Oleh itu, secara kesimpulannya dapatlah disimpulkan secara keseluruhannya, manusia yang mempunyai sikap gigih, berani dan sabar adalah manusia yang berjaya mengatur perjalanan hidup. Seperti Zahariz, beliau memilih untuk menjadi manusia nomad di dalam dunia moden yang serba canggih kini kerana impiannya untuk melihat dunia luar dari perspektif seorang pengembara. Beliau sabar menempuh pelbagai ujian dan dugaan walaupun ujian yang dilalui diluar batas fizikal dan pemikirannya. Beliau ingin mencari ketenangan dan lari dari kesibukan kehidupan manusia normal kerana beliau cintakan keindahan alam dan kedamaian manusia sejagat. Perjelajahan beliau yang penuh berliku itu hanyalah untuk mengetahui kebesaran Pencipta-Nya. Cabaran dan dugaan yang dihadapinya telah memberi inspirasi kepada generasi muda supaya mencintai kedamaian dan melestarikan alam ini. Sesungguhnya pengalaman yang dicari beliau amat bernilai dan tidak mampu diterjemahan dengan kata-kata.




No comments:

Post a Comment